Seorang budak perempuan menyorok di bawah meja, mendongak untuk mencari-cari satu jawapan. Mata dan mulutnya sarat dengan ketakutan. Dia bertanya, "Mama, apa yang sedang berlaku?"
Kejadian ini berlaku pada 20 September 1998. Polis menyerbu ke dalam rumah. Papanya ditangkap dan dibawa pergi. Di luar sana, orang ramai berkerumun, melaungkan slogan Malaysia untuk perubahan, "Reformasi!"
Keluarganya memaklumkan kepadanya, bahawa seorang penjahat – Perdana Menteri – yang bertanggungjawab untuk menyumbat papanya ke dalam penjara. Ibunya memesan agar dia berdoa, yakin pada Allah.
Budak perempuan yang paling bongsu di kalangan lima anak ini tidak dimaklumkan bahawa papanya berada di ambang menjadi Perdana Menteri. Dan kini beliau adalah tahanan politik negara yang paling terkenal, disabit dengan tuduhan jenayah liwat. Bagaimana seseorang mampu menjelaskan apa itu "sodomi" kepada seorang budak berusia 6 tahun?
Budak perempuan ini bernama Nurul Hana Anwar. Adat Melayu menetapkan nama anak diakhiri dengan nama bapanya. Maka namanya berbunyi, Nurul Hana, anak Anwar.
Anwar Ibrahim, satu nama yang terkenal di Malaysia. Beliau menikmati langkah lonjakannya yang pantas di tangga kuasa sepanjang tahun 1990-an. Majalah TIME menggelar beliau sebagai "bintang daripada generasi pemimpin yang sedang muncul" di Asia pada kulit majalah itu, lantaran usahanya membawa reformasi kepada sistem kewangan dan aspirasinya terhadap reformasi demokrasi.
Beliau hanya menunggu giliran seterusnya dalam barisan mewarisi mentornya, Perdana Menteri Mahathir Mohamad, sebelum beliau berbalah dengan Dr. Mahathir berhubung sistem politik naungan di negara ini. Setelah dipecat pada 2 September 1998, Anwar mengetuai himpunan politik puluhan ribu manusia untuk mendesak agar Mahathir berundur, sambil melaungkan "reformasi!"
Kemudian Dr. Mahathir mengambil langkahnya dan Anwar ditangkap. Untuk ramai rakyat Malaysia, penangkapan Anwar adalah detik saat kesedaran politik mereka. Ia menjadi pemangkin kepada gerakan reformasi di Malaysia. Pada malam itu, mereka sedar bahawa seandainya kerajaan mereka boleh bertindak ke atas seseorang yang berkuasa seperti Anwar, maka ia boleh bertindak ke atas sesiapa sahaja.
Nurul Hana tidak tahu-menahu tentang hakikat ini ketika lelaki bertopeng dan bersenjata merempuh ke dalam rumahnya. Untuk dia, tarikh itu tidak lain tidak bukan hari dia kehilangan papanya. Hari itu, menurut ibunya, dia mula menyorok ke bawah meja dengan lebih kerap, mengasingkan dirinya dan enggan bercakap kebanyakan masanya.
Jikalau Nurul Hana kehilangan suaranya pada usia 6 tahun, dia mula mengembalikannya pada usia 23 tahun. Ogos lalu, dia menyampaikan satu ucapan di ibu negara untuk meluncurkan bukunya, Sayang Buat Papa. Ia adalah kolaj imej visual yang mengisahkan cerita apakah perasaannya, dari kaca mata seorang anak yang kehilangan bapanya ke tangan "orang jahat", dan muncul semula dengan mata lebamnya dalam satu sel kecil sembilan hari kemudian.
Anwar bukan seorang ahli politik dalam buku ini. Beliau seorang papa, seorang suami – beliau seorang manusia. Buku tersebut laris jualannya, menduduki tangga kelima dalam senarai buku non-fiksi terlaris di kedai buku Border Malaysia. Buku ini diluncurkan di Amerika Syarikat pada bulan lalu.
Nurul Hana tidak merancang untuk menjadi seorang penulis. Buku ini muncul dari satu projek kolaj yang diusahakannya untuk kelas. Kita bertemu pada pagi Jumaat minggu pertama persekolahan pada September.
Suaranya lembut dan mesra. Dia memakai cermin mata yang besar dan bulat di atas pipinya. Kita berada di kedai kopi, tetapi dia tidak minum kopi. Dia lebih suka coklat panas, yang mana dia suka hirup ketika mendengar Radiohead sambil menyiapkan rekaan grafik untuk projek kolejnya.
Dia baru sahaja pulang dari peluncuran bukunya, di mana dia berucap kepada 150 orang audiens, termasuk ahli politik yang terkemuka, wartawan dan pemimpin. Berucap di depan khalayak awam adalah sesuatu yang gerun buat dirinya – pernah dia mengambil kelas lakonan untuk menangani ketakutan dalam dirinya – tetapi ucapannya tadi berjalan dengan lancar, katanya.
Bagaimanapun, ketika dia bertemu dengan wartawan selepas itu, dia meminta agar wartawan itu tidak membawa alat perakam. Dia membenarkan saya untuk merakamkan perbualan kita. Namun kegusarannya jelas terpampang dari kekerapannya memohon maaf dan senyuman yang segan. Susuk tubuhnya kelihatan seperti masih cuba membiasakan diri dengan suara yang baru ditemuinya itu.
Timing buku ini tidak ditetapkan sesuka hati. Februari yang lalu, Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, sekali lagi atas tuduhan sodomi – satu hukuman yang disifatkan Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) sebagai penahanan yang bermotifkan politik.
Ramai mempercayai Anwar, dengan pegangannya sebagai reformis yang liberal, dan seorang Muslim yang warak, berada di ambang untuk menyatukan fraksi-fraksi Melayu Muslim (majoriti populasi), etnik Cina dan India untuk menumbangkan barisan politik yang sedang mendominasi. Pemenjaraan beliau adalah satu rintangan besar kepada politik pembangkang. Namun demikian, sesetengah orang mula mempertikaikan secara terbuka, samada mereka berhenti menunggu Anwar, dan terus mengharapkan agar generasi muda dapat mengambil alih tampuk.
Buku Nurul Hana tidak mengambil kisah perdebatan-perdebatan sedemikian. Ia jelas tiada kena-mengena dengan politik, mengambil ketetapan untuk menampilkan wajah Anwar yang berbeza. Salah satu imej yang paling kerap diulangi dalam buku ini adalah foto kaki papanya, yang ditutup hanya dengan sepasang selipar. Apabila saya tanya, mengapa memilih kakinya, daripada semua yang lain, untuk dipamerkan, dia membalas dengan mengatakan bahawa kebanyakan orang hanya kenal papanya melalui imej atau klips video di mana beliau berdiri di atas pentas, menyampaikan ucapannya.
Dengan menampilkan kakinya secara berulangan, yang mana boleh disalah anggap sebagai kaki manusia yang lain, Nurul Hana mendedahkan situasi Anwar sebenarnya setelah tidak lagi terikat dengan kekuasaan. Apabila kerajaan memenjarakan Anwar, mereka tidak merampas kerjaya politiknya, kerjanya dan reputasinya semata-mata. Mereka juga membawa pergi seorang datuk, seorang bapa dan seorang suami. Dalam perkataan Nurul Hana, "Mereka mengambil segala-galanya," termasuk susuk tubuh beliau.
Seandainya pembangkang perlu melangkah ke depan tanpa penyelamat politiknya, maka gerakan Bebaskan Anwar perlu mengurangkan kebergantungannya terhadap kehebatan politik beliau, sebaliknya lebih cenderung kepada hujah asas bahawa tiada manusia seharusnya menderita di bawah ketidakadilan dalam tangan daulah negara. Keperluan kemanusiaan asas Anwar wajar dijadikan keutamaan – dan disebabkan inilah buku seni anak perempuan bongsunya ini terbukti lebih relevan dari segi politik, berpandangan jauh dan sarat dengan harapan, dari apa yang dijangka.
Yang berikut adalah jalan ceritanya.
***
Awal Januari, kelasnya diberi satu tugasan oleh profesor kolejnya dengan satu projek kolaj. Nurul Hana mengambil keputusan untuk menjadikan ia berkisah tentang pengalamannya ketika papa ditangkap pada tahun 1998 dan perbicaraan terbarunya. Pernah seketika dahulu dia cuba membuat seni tentang papa pada zaman persekolahannya di Malaysia, riuh-rendah satu sekolah dibuatnya. Pentadbir sekolah menghalangnya. Mereka tidak mahu diheret ke dalam masalah.
Semua orang tahu siapa dia di negaranya. Tetapi di sini, di New York, dia cuma seorang gadis dengan hijab. Dia akan menghantar tugasan kepada profesornya di hujung semester, dan itulah sahaja yang akan berlaku.
Untuk memulakan penyusunan kolaj, dia membuka folder dalam laptopnya yang mengandungi surat antara papa dengan dirinya yang telah di-scan. Itu adalah folder yang terbiar tanpa disentuh untuk lebih satu dekad. "Saya mula menangis dan melepaskan segala-galanya," katanya.
Ingatan mula kembali. Dia mula mengenang tentang malam 20 September 1998. Demikianlah yang dicatatkan dalam bukunya:
"Tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi yang amat gegak-gempita, saya tertanya-tanya dan keliru, apakah kekecohan yang berlaku? Hati saya meronta-ronta. Perasaan ingin tahu apakah punca kebisingan itu, yang tidak pernah didengar ini ada pada waktu lewat malam begini, iaitu ketika semua orang sepatutnya sedang nyenyak tidur.
Makcik yang menjaga saya terus mengunci pintu… Lantas saya turun dari katil, berlari ke pintu dan terus membuka kunci. Makcik cuba menghalang saya, namun dia terlambat; saya sudah pun berada di luar bilik."
Beberapa orang lelaki dengan uniform hitamnya telah berdiri di luar bilik ibu bapanya. Terdengar laungan "Reformasi" daripada orang ramai yang berhimpun di luar sana untuk menyokong papanya. Beliau diberi tempoh satu jam untuk mengemas pakaiannya. Mereka memasukkan Anwar dan keluarganya ke dalam sebuah van putih. Jalan telah "dibersihkan" polis agar tiada sesiapa yang boleh menghalang. Van itu berhenti. Papa dipisahkan daripada mereka. Keluarganya hanya tahu ke mana Anwar sembilan hari kemudian. Mereka mendapati Anwar dibiarkan terlantar di penjara dengan lumuran darah di sekitarnya. Ketua Polis telah memukulnya tanpa belas kasihan sehingga beliau tidak sedar diri untuk dua hari.
Untuk enam tahun, pemimpin pembangkang Malaysia ini disenyapkan di sebalik tirai besi penjara. Untuk tempoh enam tahun itu, Nurul Hana membesar tanpa papa. Mereka saling mengirim surat ketika Anwar berada dalam penjara. Salah satu surat yang diterbitkan dalam buku: "Hana saya yang manis dan comel. Anda membuat papa begitu gembira. Jadi teruskan kerja baik anda. Jaga gigi anda. Siapkan kerja rumah. Belajar bersungguh-sungguh. Senyum dan jangan bermurung! Ingat? Sayang Papa."
Akhirnya beliau membiasakan diri dengan lawatan penjara, dan mengandaikan bahawa cara kebanyakan anak berjumpa dengan papanya adalah di penjara. Tiada sesiapa yang memberitahu mengapa papanya di penjara. Istilah "sodomi" tidak pernah disebut. Setiap kali apabila seseorang cuba memujuknya bahawa "semuanya akan baik", dia akan tertanya-tanya, tanpa meluahkan suaranya, "Apa yang semuanya akan baik?"
Pertuduhan sodomi sengaja dirancang di sebuah negara dengan Muslim sebagai majoriti populasinya. Lebih-lebih lagi Anwar sebagai Muslim yang warak. "Beliau memiliki imej seorang yang memiliki asas moral yang tinggi, dengan latar belakangnya yang islamik. Jadi cara terbaik untuk memusnahkannya adalah mengenakan satu pertuduhan yang mengandungi konotasi seksual. Dan sekiranya anda gagal memperlihatkan seseorang itu bersama wanita, maka lebih baik anda menuduhnya dengan sodomi," kata Latheefa Koya, salah seorang peguam pembela Anwar.
Suratkhabar, yang selalunya konservatif ketika mengendalikan kandungan seksual yang menjolok mata, mendedahkan secara terperinci kelakuan curang homoseksual yang kononnya melibatkan Anwar. Undang-undang melarang sodomi bermula sejak zaman penjajahan British. Kajian menunjukkan bahawa undang-undang ini hanya digunakan tujuh kali dari tahun 1938 hingga 2009, dan empat daripada tujuh kali ini digunakan ke atas Anwar.
Mahkamah tertinggi Malaysia akhirnya membatalkan hukuman sodomi, antaranya disebabkan bukti bahawa polis telah melakukan seksaan terhadap saksi-saksi utama untuk mendapatkan pengakuan. Anwar dibebaskan pada tahun 2004. Nurul Hana hanya mula faham mengapa papanya ke penjara apabila membaca berita itu pada usia 12 tahun.
"Dengan perlahan-lahan saya mencantum kembali cebisan-cebisan itu," katanya. "'Apa benda ini?' fikir saya. Saya tidak meluahkan kepada sesiapa kerana saya sepatutnya tahu benda ini. Dan saya tidak memberitahu ibu saya kerana saya tidak mahu membebankannya."
Rekaan kolaj daripada keratan akhbar, surat dan foto adalah cara untuk menjahit cebisan memorinya.
"Saya mencurahkan kesemua emosi saya (ke dalam kolaj) dan ia memang membantu, kerana telah lama saya menyimpannya," katanya. "Saya mempunyai zaman kanak-kanak yang normal untuk enam tahun, namun apa yang menyedihkan adalah papa tidak nampak saya membesar dari usia 6 ke 12 tahun, dan itu masanya anda memerlukan papa anda."
Dari tahun 2004 hingga 2015, keluarga Anwar menikmati ruang untuk menarik nafas. Anwar disekat sementara dari terlibat dalam politik lantaran hukuman yang disabitkan. Beliau menerima satu jawatan yang ditawarkan Universiti Georgetown, dan membawa keluarganya ke Amerika Syarikat, di mana Nurul Hana dan kekandanya belajar di sekolah Amerika. Untuk sekian lama, ini kali pertamanya mereka boleh berjalan-jalan dengan bebas secara terbuka tanpa diperhatikan. Mereka boleh bernafas dengan sedikit lebih lega dan meninggalkan masa lalu di belakangnya.
Akhirnya mereka kembali ke Malaysia. Kekandanya mendewasa, mendapat kerja, berkahwin dan beranak. Anwar mula memperolehi memontem politik yang signifikan. Dalam pilihan raya umum pada tahun 2013, beliau mengetuai satu pakatan yang merangkumi Muslim, Cina dan India untuk memenangi undi popular.
Tetapi pakatannya tidak memperolehi bilangan kerusi parlimen yang majoriti, lantaran penyempadanan yang tidak adil, atau dikenali sebagai gerrymandering dalam sistem pilihan raya. Sumber dalaman parti pemerintah mula memberi isyarat bahawa masa depan Perdana Menteri Najib Razak semakin malap.
Kebimbangan utama keluarga adalah perbicaraan Anwar. Pada tahun 2008, salah seorang pembantunya membuat laporan polis bahawa Anwar telah melakukan pencabulan seksual terhadap dirinya. Anwar mendakwa bahawa pembantunya yang muda ini mempunyai kelebihan kekuatan fizikal, berbanding susuk tubuh dirinya yang masih terganggu dengan kecederaan lantaran dibelasah pada tahun 1998. Pertuduhan itu kemudiannya dipinda kepada "hubungan seks luar tabii secara sukarela", tetapi pembantunya tidak dituduh. Mahkamah pernah membebaskan Anwar, namun keputusan hakim dirayu ke peringkat lebih tinggi. Perbicaraan terakhir ditetapkan pada Februari tahun ini.
Perbicaraan ini berlegar-legar dalam minda Nurul Hana ketika dia menyiapkan kolajnya. Dia mengambil keputusan untuk menghadiahkannya kepada papa apabila dia pulang ke Malaysia, dan sekeluarga mereka bersama untuk mendengar perbicaraan terakhir. Dia merahsiakan projek ini, mendedahkannya hanya pada hari sebelum perbicaraan mahkamah papanya, ketika keluarganya berkumpul bersama dalam satu bilik. Semua orang terperanjat. "Ini kali pertamanya saya menceritakan bagaimana perasaan saya terhadap kesemua yang berlaku," dia bercakap tentang kolajnya. Ibu dan kekandanya mula mengalirkan air mata.
"Anda sebenarnya tidak dapat melihat reaksi (papa saya) pada dirinya. Anda akan nampak lebih melalui tulisannya – bapa yang tipikal, anda tahulah," katanya, sambil tersenyum, "Beliau menulis sepucuk surat kemudiannya, berkata beliau sebenarnya bangga dengan saya."
Pada hari seterusnya, keputusannya sampai. Mahkamah memutuskan Anwar Ibrahim bersalah dalam kes sodomi. Beliau dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.
"Saya tidak terkata apa sebenarnya," kata Nurul Hana. Kesunyian yang menimpa dirinya pertama kali pada usia 6 tahun kini kembali kepadanya pada usia 23 tahun.
Namun Nurul Izzah, kakaknya yang paling sulung, juga seorang wakil rakyat, menggalakkan dia untuk bercakap dan menerbitkan buku. Pada mulanya, dia hanya menggelengkan kepala. Dia menjelaskan, "Hatta saya tidak mampu nak memandangnya sekali lagi setelah saya menyiapkannya."
Idea untuk menerbitkannya, agar dunia mendalami pengalaman yang paling trauma dalam hidupnya, terlalu berat untuk dirinya. Namun, selepas beberapa hari – "Saya seorang yang ragu-ragu," Hana memberitahu saya – dia menukar fikirannya. Dia mahu mengisahkan satu cerita yang berbeza tentang Anwar – sebagai seorang papa, bukan seorang ahli politik.
"Saya rasa buku ini semacam telah disenyapkan sejak tahun 1998. Tiada sesiapa yang pernah menerbitkan kisah tentang papa dari sudut pandangan keluarga… Orang kebanyakan masanya melihat beliau sebagai ahli politik. Saya hanya melihat beliau sebagai papa saya, yang disabitkan hukuman secara tidak adil. Orang tidak pernah melihatnya sebagai seorang ayah atau seorang datuk. Mereka tidak tahu beliau menyanyi untuk mendoidoikan cucunya. Atau perkara yang kecil, misalnya ketika kita makan tengahari atau malam bersama, setiap orang perlu ada di situ jikalau berada di dalam rumah. Terutamanya sewaktu Ramadan, kita sentiasa berbuka puasa bersama," katanya.
Oleh kerana "peribadi" dan "politikal" begitu rapat terjalin dalam kerjaya Anwar, malah usaha menggambarkan "peribadi" Anwar tidak terelak daripada dilihat sebagai tindakan politik. Apabila saya bertanya, apakah Nurul Hana mempunyai agenda politik tertentu untuk menerbitkan buku ini, dengan tegas dia menggelengkan kepalanya, namun sempat dia berkata sebegini, "Seandainya keluarga-keluarga yang lain menganggap tuduhan itu adalah benar, mereka tidak akan mendekati papa anda. Kesemua kawan dan saudara-mara kita berusaha bersatu padu. Seandainya anda mahu bercakap tentang perkara ini, anda masih boleh berkata ini adalah tidak benar kerana kita masih bersatu padu."
Selepas Nurul Hana kembali ke kolejnya di New York City dari perbicaraan itu, dia berkata, "Agak sukar untuk saya meneruskan kerja saya. Saya tak dapat nak fokus betul-betul. Satu perkara yang menggerakkan saya ke depan adalah saya mahu papa saya menjadi sebahagian daripada saya dengan berbuat baik di sekolah – kerana beliau sentiasa menggalakkan saya untuk berbuat demikian, dan bercakap tentang mesejnya. Saya ingin berpegang kepada kedua-dua ini kerana beliau tidak lagi berada di sini."
Untuk menjadi seorang "anak perempuan yang baik", bagi Nurul Hana, tidak terelak daripada "terlibat dalam politik". Ini adalah benar untuk anak-anak Anwar yang lain, yang mana telah ditolak satu persatu ke dalam perjuangan politik.
Apabila saya menemui Nurul Hana pada pagi Jumaat, dia tengah menyiapkan tugasannya mengenai perkauman. Tertarik dengan politik perkauman dan sejarah Amerika, dia baru sahaja habis membaca buku kegemarannya, Between the World and Me (Antara Dunia dengan Saya) tulisan Ta-Nehisi Coates.
Ayat kegemarannya, "Anda tidak boleh lupa betapa banyaknya mereka memunggah daripada kita dan bagaimana mereka mengubah rupa tubuh kita kepada gula, tembakau, kapas dan emas." Buku ini adalah surat daripada Coates, seorang lelaki berkulit hitam kepada anaknya, memesan anaknya – dan kita – supaya jangan lupa akan sejarah Amerika. Jangan sesekali lupa bahawa mengangkat "impian Amerika" melibatkan tubuh manusia kulit hitam yang dibelasah, tubuh yang mendedahkan pembohongan kejam mimpi itu.
Kebanyakan anak muda Malaysia tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya pada tahun 1998. Mereka terlalu mentah untuk memahami, sebagaimana yang dilalui Nurul Hana. Buku ini, sebahagiannya dituju kepada mereka, untuk menunjukkan kepada mereka secebis sejarah negara mereka dengan menarik tirai Negara untuk mendedahkan lebam dan kecederaan susuk tubuh papanya.
Langkah meminggirkan dan membisukan Anwar di sebalik tirai besi barangkali petanda apa yang akan datang. Tahun lalu, kerajaan telah menghidupkan semula satu lagi undang-undang penjajah British, Akta Hasutan, untuk menggalakkan sebuah negara yang lebih "stabil, aman dan harmoni". Seramai 30 ahli politik dan aktivis telah dituduh, termasuk seorang kartunis, Zunar yang berdepan dengan hukuman penjara 43 tahun lantaran buku terbitannya dan tulisan tweet-nya tentang sabitan hukuman Anwar.
Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Obama melawat ke Malaysia, tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara). Nurul Izzah Anwar, seorang ahli parlimen, juga anak sulung dalam keluarga, berkempen agar Obama mendesak kerajaan Malaysia untuk bertanggungjawab ke atas pencabulan hak asasi manusia.
Namun Obama memerlukan kerjasama Perdana Menteri Najib Razak untuk membereskan TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik) dan komitmen untuk memerangi keganasan ekstremis, terutamanya dengan kedudukan geografi Malaysia dan populasi muslimnya. Islam di Malaysia semakin dipolitikkan dan semakin radikal. Disebabkan terdesak untuk mengekalkan tampuk kuasa, parti pemerintah telah cuba berjinak-jinak dengan kad agama untuk memperkasa kewibawaan dirinya sebagai Muslim dan meminggirkan bukan Islam, mewujudkan satu suasana untuk pencambahan benih ISIS – hakikatnya, lebih 200 rakyat Malaysia dipercayai telah menyertai ISIS.
Perbualan saya dengan Nurul Hana jarang menyentuh mana-mana topik geo-politik atau keprihatinan tentang isu-isu ini. Apa yang paling dibimbanginya adalah kesihatan papanya – beliau kini memerlukan terapi fizikal dan surgeri, di mana kerajaan tidak membekalkan, sebaliknya menggandakan dosej ubat penahan sakit tanpa memberitahu beliau. Perincian yang diungkitkan adalah peribadi dan khusus, misalnya bagaimana kawalan kerajaan lebih ketat berbanding tahun 1998, membenarkan Anwar hanya menelefon satu nombor (isteri beliau) daripada lima. Keluarganya menangani peraturan itu dengan memasang speaker pada telefon ibu mereka, supaya setiap mereka boleh memanggil dan mendengarnya.
Menuju penghujungnya, kita mula berbual tentang seni dan sajak. Dia memberitahu saya tentang sebuah sajak yang dilafazkan semasa peluncuran bukunya, "Gadis Kecil", ditulis Usman Awang, bekas Sasterawan Negara Malaysia.
Sajak ini bermula dengan membandingkan seorang gadis kecil dengan sebatang pinang yang kurus, yang tetap tegak sungguhpun pohon sekitarnya rebah terkapar ketika ribut besar. Gadis kecil itu berulang-alik melalui kawat duri untuk menemui ayahnya yang dipenjarakan kerana menentang penindasan.
Narator menawarkan bantuan kepadanya, tetapi ditolak dengan sopan, "Saya tak perlu wang, pak cik, cukuplah kertas dan buku". Narator menawarkan simpati, namun gadis kecil itu berkata, "jangan sedih, pakcik, tabahkan hati." Usia gadis kecil ini terlalu muda, namun jiwanya "didewasakan oleh pengalaman". Narator bertanya, "Alangkah malunya hati seorang lelaki dewasa / yang mahu membela manusia derita terpenjara / menerima nasihat supaya tabah dan berani / dari anak penghuni penjara itu sendiri."
Nurul Hana menterjemahkan ayat terakhir sajak itu kepada saya, "Sepuluh anak seperti dia akan menghapuskan erti seribu penjara."
Tulisan ini adalah terjemahan bahasa Melayu daripada edisi asalnya dalam bahasa Inggeris, diterbitkan di PRI.org
The World is an independent newsroom. We’re not funded by billionaires; instead, we rely on readers and listeners like you. As a listener, you’re a crucial part of our team and our global community. Your support is vital to running our nonprofit newsroom, and we can’t do this work without you. Will you support The World with a gift today? Donations made between now and Dec. 31 will be matched 1:1. Thanks for investing in our work!